Pelajar Praktikal UTAR Maut Dalam Letupan Universiti Swasta

KUALA LUMPUR: Mangsa yang maut dalam kejadian letupan di sebuah universiti swasta semalam dikenal pasti sebagai seorang pelajar praktikal dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang sedang menjalani latihan industri bersama sebuah syarikat penyelenggaraan pendingin udara.

Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik UTAR, Chang Yoong Choon, berkata mangsa, Soo Yu Juan, 24, merupakan pelajar tahun ketiga Kejuruteraan Mekanikal dan dijadual menamatkan latihan industrinya pada Khamis ini.

Menurut beliau, latihan industri adalah sebahagian daripada syarat wajib pengajian bagi memberi pendedahan kepada suasana kerja sebenar.

“Kejadian ini amat mengejutkan pihak universiti. Mangsa berada di lokasi sebagai sebahagian tugasan rutin berkaitan kerja penyelenggaraan penyaman udara,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Chang memaklumkan UTAR menyediakan perlindungan insurans kepada semua pelajar, termasuk sepanjang tempoh latihan industri.

“Selepas dokumen lengkap diperoleh, universiti akan memfailkan tuntutan insurans. Saya sendiri akan menguruskan kes ini sehingga selesai sebagai tanggungjawab kepada pelajar dan keluarga mangsa,” katanya.

Beliau turut berkata syarikat tempat mangsa menjalani latihan industri menyatakan kesediaan memberi bantuan, termasuk dalam urusan pengebumian.

Punca kejadian masih belum dikenal pasti dan pihak universiti kini menunggu hasil siasatan pihak bomba.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki meninggal dunia ketika menerima rawatan di HKL manakala sembilan yang lain cedera dalam kejadian letupan gas penyaman udara di sebuah universiti swasta kira-kira jam 11.40 pagi semalam.

BBerkaitan

Latest articles