Warga Asing Ditahan Selepas Pasang Jalur Gemilang Terbalik

KUALA LUMPUR : Seorang lelaki warga asing berusia 38 tahun ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kejadian pemasangan bendera Malaysia secara terbalik di sebuah premis di Kulai, Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata pihaknya mengesan satu video tular di media sosial sekitar jam 4 petang Ahad yang memaparkan Jalur Gemilang dipasang tidak mengikut kedudukan sepatutnya.

Bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai segera melakukan pemeriksaan di lokasi terbabit sebelum menahan seorang lelaki warga China.

“Hasil semakan awal mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga menunjukkan keputusan negatif,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Pindaan 2017), Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/1963.

Suspek kini direman selama tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan lanjut.

Polis mengingatkan orang ramai supaya lebih peka dan menghormati simbol negara, serta tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan sensitiviti awam.

BBerkaitan

Latest articles