SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan pendirian tegas menolak sebarang bentuk aktiviti berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di seluruh Negeri Selangor.
Baginda tidak berkenan penganjuran apa jua festival, perarakan, sambutan, promosi atau aktiviti yang mengangkat gaya hidup LGBT di mana-mana daerah, selain menolak penubuhan persatuan, kelab, pertubuhan atau NGO berkaitan kumpulan itu.
Titah tersebut disampaikan ketika baginda menerima menghadap Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin, dan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir, di Istana Bukit Kayangan hari ini, susulan isu penganjuran program “Glamping with Pride”.
Sultan Sharafuddin menegaskan, walaupun perbuatan itu melibatkan dosa individu, ia tetap boleh membawa kemurkaan Tuhan dan memberi kesan buruk kepada negeri jika dibiarkan berleluasa.
Selaras dengan titah baginda, MAIS dan Mufti Selangor menyatakan bantahan terhadap sebarang aktiviti atau promosi gaya hidup LGBT, sambil menegaskan Islam mengharamkan amalan tersebut dan mengaitkannya dengan perbuatan kaum Nabi Lut A.S. yang dianggap dosa besar.
MAIS turut mengingatkan umat Islam, khususnya golongan muda, agar tidak terpengaruh dengan budaya luar yang bercanggah dengan ajaran Islam atas alasan kebebasan hak asasi.
Berikutan itu, MAIS dan Mufti Selangor menggesa PDRM dan pihak berkuasa tempatan supaya tidak meluluskan permit bagi sebarang program seumpama itu.
JAIS, PBT dan PDRM juga diminta memperketat pemantauan dan mengambil tindakan undang-undang bagi memastikan titah Sultan dipatuhi.
“Semua pihak perlu komited memelihara kesucian agama dan keharmonian masyarakat supaya Selangor kekal aman serta bebas daripada amalan yang bercanggah dengan ajaran Islam,” menurut kenyataan tersebut.










