Exco: Ladang Babi Dipindah Segera Ke Bukit Tagar Tahun Ini

SHAH ALAM: Rancangan memindahkan operasi penternakan babi ke Bukit Tagar yang asalnya dijadual pada 2030 kini dipercepatkan dan akan bermula tahun ini.

Exco Infrastruktur Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim, berkata pemindahan akan dilaksanakan sebaik isu pengambilan tanah antara pemilik swasta dan penternak diselesaikan.

“Kita akan percepatkan isu tanah. Kerajaan negeri hanya jadi pemudah cara dan tidak guna dana kerajaan,” katanya.

Menurut beliau, semua operasi penternakan di Kuala Langat akan ditamatkan dan lesen baharu tidak akan dikeluarkan lagi.

Izham turut mendedahkan bahawa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, tidak berkenan penternakan di Kuala Langat diteruskan walaupun sementara, menyebabkan proses pemindahan perlu dipercepat.

Katanya, tapak baharu seluas 500 ekar di Bukit Tagar terletak jauh dari kawasan penempatan dan akan menempatkan semua ladang di satu lokasi.

“Ini kawasan terpencil, bukan tepi rumah penduduk. Isu sebelum ini timbul kerana pembangunan mendekatkan ladang dengan orang ramai,” katanya.

Penternakan di Bukit Tagar akan dijalankan secara tertutup dan moden, dengan syarat ketat termasuk zon penampan bagi mengelakkan bau, pencemaran air dan penularan penyakit.

Perkara itu telah dipersembahkan kepada Sultan Selangor pagi tadi dan akan dibincang dalam Mesyuarat Exco Negeri pada Rabu ini.

BBerkaitan

Latest articles