Jawatan PAT: Hafizuddeain Kemuka Surat Bersara Awal

KUALA LUMPUR: Bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, secara rasmi memohon untuk bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkuat kuasa 1 Januari lalu, sekali gus mengosongkan jawatan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (PAT).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata permohonan itu diterima melalui sepucuk surat yang dihantar oleh peguam Muhammad Hafizuddeain.

Sebelum ini, Majlis Angkatan Tentera telah memilih beliau sebagai PAT, namun pelantikan tersebut ditangguhkan susulan kes yang sedang disiasat.

“Pelantikan yang sepatutnya bermula 1 Januari tidak diteruskan kerana kes berkenaan. Dengan persaraan awal ini, jawatan PAT kini kosong,” katanya selepas Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan 2026 di Wisma Perwira.

Buat sementara waktu, jawatan itu dipangku oleh Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain. Proses melantik PAT baharu akan dimulakan, termasuk mengemukakan calon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan.

Menurut Mohamed Khaled, tiada garis masa khusus bagi pelantikan baharu kerana ia perlu melalui prosedur Majlis Angkatan Tentera serta mendapat perkenan Seri Paduka.

Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Hafizuddeain bercuti serta-merta bagi memberi laluan kepada siasatan terhadap dakwaan tertentu melibatkan dirinya.

BBerkaitan

Latest articles