KUALA LUMPUR: Kepimpinan Bersatukini dilihat berada di tengah-tengah krisis dalaman apabila Datuk Seri Hamzah Zainudin disebut-sebut sebagai pemimpin terbaharu yang berdepan risiko tindakan disiplin, termasuk kemungkinan dipecat.
Gelombang spekulasi ini muncul selepas beberapa ketua bahagian dan pemimpin Bersatu di Perak yang dikaitkan dengan Hamzah dipanggil menghadap Lembaga Disiplin parti, dipercayai susulan kritikan terbuka mereka terhadap kepimpinan tertinggi.
Apa yang menimbulkan persoalan ialah Hamzah sendiri, Timbalan Presiden Bersatu, tidak menerima sebarang notis panggilan meskipun individu-individu yang sehaluan dengannya dipanggil seorang demi seorang.
Situasi ini menimbulkan persepsi bahawa siasatan disiplin bukan sekadar soal peraturan, tetapi didakwa dilihat sebagai usaha menyekat pengaruh dan mematahkan rangkaian sokongan dalaman.
Bekas Timbalan Pengerusi Tetap Bersatu, Datuk Hashim Suboh, secara terbuka mempersoalkan keadilan proses disiplin.
Beliau menegaskan, kritikan terhadap kepimpinan sepatutnya menjadi mekanisme semak dan imbang, bukan dianggap kesalahan berat.
Krisis ini muncul pada saat Bersatu sedang berusaha memulihkan keyakinan akar umbi dan memperkemas hala tuju menjelang Pilihan Raya Umum.
Hamzah, yang sebelum ini dikenali sebagai antara tokoh paling berpengaruh dan berpengalaman dalam parti, kini berada di tengah pusaran konflik dalaman yang semakin ketara.
Bagi sebahagian pemerhati politik, jika benar terdapat usaha untuk “membersihkan” tokoh tertentu, ia berisiko memecahkan parti dari dalam.
Tindakan disiplin terhadap pemimpin Perak yang lantang bersuara memberi isyarat bahawa budaya takut sedang berakar.
Kritikan dianggap penderhakaan, manakala perbezaan pandangan dilihat sebagai ancaman.
Persoalan besar kini timbul, adakah Bersatu sedang bergerak ke arah parti yang tertutup dan autoritarian, atau masih terbuka kepada perbahasan dalaman yang sihat?
Ada berpandangan jika langkah keras diambil terhadap Hamzah atau rangkaiannya, impaknya bukan kecil. Ia berpotensi mencetuskan gelombang keluar parti dan mengukuhkan persepsi bahawa Bersatu sedang bergelut dengan krisis kepimpinan










