PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita aset bernilai lebih RM2.2 juta yang dipercayai milik isteri kedua seorang bekas pegawai tertinggi Tentera Darat, dalam satu operasi penggeledahan di Pantai Timur pagi tadi.
Menurut sumber, pemeriksaan di sebuah kediaman menemukan dua buah bagasi yang dipercayai digunakan untuk menyimpan barangan mewah.
Hasil pemeriksaan lanjut menjumpai 23 unit jam tangan jenama Rolex pelbagai model dengan nilai pasaran dianggarkan mencecah kira-kira RM2 juta.
Selain itu, SPRM turut merampas beberapa barangan kemas milik seorang individu lain yang dipercayai bersubahat, dengan nilai anggaran sekitar RM225,000.
Perkara itu disahkan oleh Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi.
Sitaan tersebut dibuat susulan siasatan terhadap seorang bekas Panglima Tentera Darat (PTD) yang direman selama tujuh hari bermula 8 Januari hingga 14 Januari ini bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan projek tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Dalam kes sama, dua individu lain turut direman iaitu isteri pertama suspek selama tiga hari sehingga 10 Januari, manakala isteri kedua selama enam hari sehingga 13 Januari ini.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.
SPRM memaklumkan, semua suspek berusia antara 20 hingga 50-an itu ditahan kira-kira jam 3 petang pada 7 Januari lalu ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya, sebelum dibawa ke mahkamah untuk proses reman.










