PASIR GUDANG: Seorang peniaga wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dalam satu kejadian yang dilaporkan berlaku di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, akhir Disember lalu.
Tertuduh, Saniah Osman, 55, dilihat hanya mengangguk tanda memahami pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nabilah Nizam.
Mengikut pertuduhan, Saniah didakwa menyebabkan kematian Muhammad Aswad Muhammad Fairuz di ruang tamu sebuah rumah antara jam 7.30 malam, 29 Disember hingga 1.30 pagi keesokan harinya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Deana Aqilah Aliman.
Mahkamah memutuskan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan menetapkan 9 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat, kimia serta DNA berkaitan siasatan.










