Kes Tikam Pelajar: Mahkamah Tunggu Laporan Psikiatri, Keputusan 16 Januari

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini menetapkan 16 Januari depan sebagai tarikh untuk mendapatkan keputusan penuh laporan psikiatri melibatkan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun yang didakwa menikam pelajar perempuan berumur 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, Oktober lalu.

Penetapan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan permohonan pembelaan bagi lanjutan tempoh penyediaan laporan berkenaan.

Peguam tertuduh, Kitson Foong, berkata anak guamnya tidak hadir ke prosiding kerana masih menjalani rawatan serta penilaian mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta.

Menurutnya, laporan psikiatri tersebut memerlukan penilaian menyeluruh termasuk temu bual ahli keluarga, rekod tingkah laku di rumah dan sekolah, selain dokumentasi berkaitan yang diperoleh dengan bantuan pegawai penyiasat.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syed Ahmed Khabir Abdul Rahman, manakala prosiding turut dihadiri peguam pemerhati dan wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia.

Mengulas keadaan tertuduh, Foong memaklumkan remaja itu menunjukkan perkembangan positif sepanjang tempoh rawatan sejak 22 Oktober lalu dan memberi respons yang baik terhadap rawatan yang diterima.

Untuk rekod, pertuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan telah dibacakan dalam prosiding tertutup pada 22 Oktober lalu memandangkan tertuduh adalah juvana, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut hanya boleh dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di tandas pelajar perempuan antara jam 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober lalu.

BBerkaitan

Latest articles