KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menolak dakwaan bahawa pelantikan pemimpin berketurunan Cina sebagai Menteri Wilayah Persekutuan akan menindas kepentingan orang Melayu, sambil menyifatkan pandangan itu sebagai suara sumbang segelintir pihak yang tidak berpijak pada realiti.
Beliau menegaskan, pelantikan ke dalam Kabinet perlu dilihat dalam konteks kerja berpasukan dan keperluan berkhidmat kepada semua kaum, bukannya dinilai berdasarkan latar belakang etnik semata-mata.
Katanya, pentadbiran negara turut diterajui oleh Perdana Menteri Melayu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Melayu serta barisan kepimpinan yang bekerjasama bagi membantu seluruh rakyat tanpa mengira kaum.
Anwar berkata demikian ketika mengulas kritikan sesetengah pihak, termasuk pembangkang, terhadap pelantikan Hannah Yeoh daripada DAP sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), yang turut dibantu timbalannya, Datuk Lo Su Fui, juga berketurunan Cina.
Beliau mengakui wujud persepsi kononnya orang Melayu terpinggir dan kuasa diserahkan kepada kaum Cina, namun menegaskan dakwaan itu tidak berasas.
Dalam perkembangan sama, Anwar turut menafikan dakwaan melampau bahawa masyarakat India kononnya kini tidak selamat untuk keluar pada waktu malam.
Menurut beliau, kenyataan sedemikian dibuat tanpa mengambil kira kestabilan dan keharmonian negara, selain tidak bersandarkan fakta sebenar.
Beliau menjelaskan bahawa kementerian strategik seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terus diterajui oleh menteri serta timbalan menteri dalam kalangan pemimpin Melayu, sekali gus membuktikan keseimbangan dalam pentadbiran kerajaan.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Anwar menegaskan rasional rombakan dan pelantikan baharu Kabinet dibuat bagi menyuntik nafas serta tenaga baharu, termasuk memberi ruang lebih besar kepada tokoh muda untuk mempercepatkan pelaksanaan agenda reformasi.
“Insya-Allah, Kabinet MADANI akan mempergiat usaha pada tahun mendatang bagi memastikan reformasi yang lebih bermakna, selari dengan tuntutan rakyat, sambil menentang keras naratif jahat yang menghasut perpecahan, perkauman dan pelampau agama,” katanya.










