KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi, menyifatkan pelantikan Adam Adli Abdul Halim sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi paling tepat dengan latar belakang dan perjuangan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu sebelum ini.
Sambil mengucapkan tahniah, Mohd. Puad berkata, jawatan baharu tersebut membuka ruang kepada Adam Adli untuk merealisasikan agenda menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang pernah menjadi laungan perjuangannya ketika era mahasiswa.
Menurut Mohd. Puad, Adam Adli seharusnya berani membawa isu penghapusan PTPTN secara terbuka dalam mesyuarat pasca Kabinet Kementerian Pengajian Tinggi kelak.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau turut menyindir perjuangan reformasi yang pernah menyaksikan Adam Adli bermalam di khemah di Dataran Merdeka, sambil mengingatkan bahawa menjadi pembangkang jauh lebih mudah berbanding memikul tanggungjawab apabila sudah berada dalam kerajaan.
Terdahulu, rombakan Kabinet diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyaksikan Adam Adli bertukar portfolio daripada Timbalan Menteri Belia dan Sukan kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, menggantikan Datuk Mustapha Sakmud.
Adam Adli sebelum ini dikenali sebagai antara tokoh mahasiswa paling lantang dalam gerakan reformasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), khususnya dalam menuntut pemansuhan PTPTN.










