KUALA LUMPUR: Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyambut baik langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mewajibkan penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial berskala besar dilesenkan sebagai penyedia perkhidmatan aplikasi, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
Menurut OCC, inisiatif selaras dengan Seksyen 46A baharu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Peruntukan Deeming) itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, sekali gus meningkatkan akauntabiliti platform digital yang beroperasi di Malaysia, khususnya dalam aspek perlindungan kanak-kanak.
OCC menegaskan, dalam landskap digital masa kini, kanak-kanak semakin terdedah kepada risiko kemudaratan, eksploitasi dan penderaan dalam talian.
Sehubungan itu, platform digital yang memudahcara interaksi berskala besar perlu memastikan perkhidmatan mereka direka bentuk dan ditadbir dengan mengambil kira keselamatan serta kesejahteraan kanak-kanak sebagai keutamaan.
Antara tanggungjawab yang ditekankan termasuk penyediaan tetapan lalai mesra kanak-kanak, perlindungan mengikut peringkat umur, pencegahan akses kepada kandungan berbahaya, mekanisme kukuh bagi menangani eksploitasi seksual dalam talian, serta sistem pelaporan dan remedi yang mudah diakses pengguna.
OCC turut menyatakan bahawa peruntukan deeming ini mengukuhkan prinsip bahawa platform yang meraih manfaat besar daripada pengguna di Malaysia perlu memikul tanggungjawab setimpal di bawah rangka kerja kawal selia negara.
Langkah ini juga dilihat penting bagi memastikan hak kanak-kanak terhadap keselamatan, maruah, privasi dan perkembangan mereka terus terpelihara.
Dalam pada itu, OCC menyatakan kesediaan untuk memperkukuh kerjasama dengan MCMC, agensi kerajaan berkaitan dan penyedia perkhidmatan digital ke arah mewujudkan ekosistem dalam talian yang lebih selamat.
Tegas OCC, melindungi kanak-kanak dalam talian bukan sekadar pilihan, sebaliknya merupakan kewajipan undang-undang dan moral yang perlu dipikul bersama.










