KUALA LUMPUR: Aktiviti tidak bermoral yang berlaku di sesetengah spa atau gimnasium selepas lesen diluluskan bukan berada dalam kawalan pihak berkuasa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
Menurutnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya meluluskan lesen berdasarkan cadangan aktiviti yang dikemukakan pemohon, namun pengusaha ada yang menjalankan kegiatan berbeza selepas beroperasi.
“DBKL beri lesen ikut apa yang ditulis dalam kertas cadangan. Kalau mereka mohon buka spa, kita luluskan sebagai spa. Tapi apa yang berlaku selepas itu ada kalanya di luar kawalan,” katanya di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tampin, Mohd Isam Mohd Isa.
Mohd Isam merujuk penahanan besar-besaran 208 individu termasuk 17 penjawat awam, remaja dan warga emas di sebuah gimnasium dan sauna dua tingkat di Chow Kit minggu lalu, yang dipercayai menjadi pusat aktiviti seksual songsang.
Polis sebelum ini mendedahkan premis tersebut beroperasi hampir setahun dan mengenakan bayaran RM35 bagi setiap kemasukan.
Mengulas lanjut, Dr Zaliha memaklumkan DBKL menjalankan pemantauan berkala terhadap semua premis berlesen dan tindakan segera akan diambil jika menerima aduan daripada orang awam.
Katanya, sebuah pasukan khas dikenali sebagai KL Strike Force juga ditubuhkan untuk menangani kes luar norma sosial di ibu negara.
“KL Strike Force bertindak berdasarkan aduan dan akan membuat penguatkuasaan bersama DBKL, polis, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan serta Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.
Beliau menegaskan kerajaan komited memastikan setiap lesen dipatuhi mengikut syarat, sekali gus mengelakkan premis digunakan sebagai pusat kegiatan yang menyalahi undang-undang dan norma masyarakat.










