KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa rombakan Kabinet yang dijangka diumumkan dalam masa terdekat bukanlah rombakan besar-besaran seperti yang diperkatakan.
Menurut beliau, perubahan yang akan dibuat hanyalah untuk mengisi beberapa kekosongan jawatan menteri, sambil menegaskan tempoh baki penggal pentadbiran ketika ini terlalu pendek bagi menyusun semula Kabinet secara menyeluruh.
“Kabinet ini hanya akan berfungsi sekitar setahun setengah lagi, jadi rombakan besar tidak wajar. Namun mengisi kekosongan menteri itu satu keperluan,” katanya selepas merasmikan kenderaan elektrik pertama Perodua hari ini.
Kekosongan utama yang menuntut perhatian ialah di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selepas tempoh dua penggal senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berakhir esok.
Spekulasi mula bertiup kencang apabila beberapa nama besar dikatakan bakal kembali ke Kabinet, termasuk Khairy Jamaluddin yang disebut-sebut mengisi portfolio Alam Sekitar dan Air, manakala Datuk Seri Johari Abdul Ghani dikatakan calon utama mengetuai MITI.
Tengku Zafrul pula dipercayai akan dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Kanan Kerajaan.
Turut dikaitkan dengan rombakan ialah Datuk Seri R. Ramanan untuk memimpin Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, selain cadangan penyusunan semula yang menyaksikan Kementerian Ekonomi digabungkan kembali di bawah Kementerian Kewangan seperti struktur lama Unit Perancang Ekonomi.










