Tamat Tugas Di MITI, Tengku Zafrul Bakal Sandang Peranan Baharu

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menamatkan tugas sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) esok bakal menyertai barisan kepimpinan kerajaan dalam portfolio baharu yang akan diumumkan pada Rabu ini.

Perkara itu disahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan kepakaran dan pengalaman Zafrul sebagai aset penting yang tidak boleh dilepaskan.

Anwar berkata, prestasi Tengku Zafrul menerajui MITI selama dua tahun terakhir ini amat membanggakan, termasuk pencapaian kukuh agensi-agensi di bawah kementerian tersebut.

“Beliau berakhir sebagai Menteri MITI pada 2 Disember ini, tetapi tetap perlu meneruskan tanggungjawab lain yang akan saya umumkan pada 3 Disember,” katanya ketika merasmikan pelancaran kenderaan elektrik (EV) pertama Perodua di Menara MITI.

Sebelum menyertai kerajaan, Tengku Zafrul berkhidmat lebih dua dekad dalam sektor perbankan dan kewangan, termasuk sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group serta Presiden Pesuruhjaya PT Bank CIMB Niaga di Indonesia.

Beliau dilantik ke Kabinet sebagai senator pada Mac 2020 sebelum kembali menggalas peranan dalam Dewan Negara bagi penggal kedua bermula Disember 2022, jumlah maksimum yang dibenarkan, sekali gus menyebabkan beliau perlu melepaskan jawatan menteri di MITI.

Selain Tengku Zafrul, tiga lagi menteri turut dijangka menamatkan penggal sebagai senator esok iaitu Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar; dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

BBerkaitan

Latest articles