13 Lelaki Direman, Termasuk Warga Emas, Pelajar IPTA Menerusi Tangkapan Sauna Songsang Di Pulau Pinang

PERAI: Seramai 13 lelaki yang ditahan ketika serbuan di sebuah pusat sauna dipercayai menjadi lokasi aktiviti hubungan songsang di Jalan Perai Jaya semalam direman selama enam hari bagi membantu siasatan lanjut.

Perintah reman bermula semalam sehingga 5 Disember itu melibatkan dua pekerja premis serta 11 pengunjung berusia antara 19 hingga 66 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, hasil saringan air kencing mendapati semua suspek bebas daripada pengaruh dadah, namun seorang daripadanya mempunyai rekod jenayah.

Menurut beliau, pengusaha dan pekerja premis disiasat mengikut Seksyen 373/377B Kanun Keseksaan kerana disyaki menganjurkan aktiviti seks luar tabii, manakala 11 pelanggan disiasat mengikut Seksyen 377B kerana persetubuhan luar tabii.

Polis turut menyiasat tujuh suspek mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan selepas didapati memiliki bahan lucah dalam telefon bimbit.

Dua lagi individu warga asing pula disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara tanpa dokumen sah.

Terdahulu, media melaporkan seorang warga emas berusia 66 tahun dan seorang pelajar IPTA turut berada dalam kumpulan yang ditahan.

Ketika serbuan kira-kira jam 7 malam, beberapa pengunjung di tingkat dua premis itu didapati menjalankan aktiviti sauna hanya memakai seluar dalam.

Premis berkenaan dipercayai beroperasi sejak lima tahun lalu, namun aktiviti menarik pelanggan berorientasikan songsang hanya bermula dalam tempoh dua bulan dengan caj RM35 bagi setiap kemasukan.

Lebih mencurigakan, pemeriksaan turut mendapati panduan berbentuk gambar yang berfungsi sebagai kod komunikasi bagi membolehkan pengunjung mengenal pasti kecenderungan pasangan melalui penggunaan gelang tangan atau gelang kaki.

BBerkaitan

Latest articles