PM Jelas Isu Peletakan Jawatan Ewon Dalam Mesyuarat Kabinet Pada Selasa – Mat Sabu

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijangka memberi penjelasan kepada Jemaah Menteri pada Selasa ini berhubung peletakan jawatan Presiden Upko, Datuk Ewon Benedick, sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, yang berkata beliau mengetahui tentang pengunduran Ewon melalui laporan media.

“Selasa ini akan ada mesyuarat Jemaah Menteri. Kita akan dengar sendiri penerangan daripada Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Konvensyen Nasional Amanah, hari ini.

Terdahulu, Ewon mengumumkan peletakan jawatannya malam tadi kerana tidak bersetuju dengan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam isu tuntutan hak 40 peratus hasil persekutuan yang dikutip dari Sabah.

Mengulas kemungkinan kesan pengunduran Ewon terhadap kedudukan Pakatan Harapan (PH) di Sabah, Mohamad yang juga Presiden Amanah berkata, perkara itu dijangka tidak memberi impak besar kepada gabungan tersebut.

“Saya tidak rasa ia akan menjejaskan kestabilan kerajaan negeri mahupun persekutuan. Soal pembahagian kerusi bagi PRN Sabah nanti mungkin ada pertembungan, tetapi semuanya masih dalam kerangka kerajaan persekutuan,” jelasnya.

Mengenai kemungkinan rombakan Kabinet susulan kekosongan jawatan itu, Mohamad berkata masih terlalu awal untuk membuat sebarang spekulasi.

“Kita tunggu dahulu penjelasan daripada Perdana Menteri, baru kita boleh komen lanjut,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, memberi bayangan bahawa rombakan Kabinet mungkin berlaku dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi.

BBerkaitan

Latest articles