JERANTUT: Seorang lelaki yang digelar ‘Ayahanda’ bersama tujuh pengikutnya ditahan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dalam serbuan terhadap kumpulan Jemaah Nur Ahmad Istana Pelangi di Pulau Tawar, Jumaat lalu.
Pengarah JAIP, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman, berkata serbuan dilakukan di sebuah premis bekas gudang perabot kayu dan rotan yang telah diubah suai menjadi tempat tinggal serta markas kumpulan tersebut.
“Pemeriksaan mendapati premis yang disewa itu mempunyai 11 bilik, ruang tamu, surau, dapur dan tiga bilik air. Antara yang ditahan ialah seorang wanita berusia 45 tahun, isteri kepada suspek utama, serta tujuh lelaki berusia antara 45 hingga 66 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Khirrizal, pemeriksaan turut menemui pelbagai barang dipercayai berunsur khurafat seperti tongkat, ikatan kain kuning dan kain hitam yang digunakan kumpulan itu.
Hasil siasatan awal mendapati suspek utama telah menyewa premis berkenaan sejak dua hingga tiga tahun lalu, dan tinggal bersama empat anaknya berusia lapan hingga 15 tahun.
Tujuh pengikutnya yang turut ditahan berasal dari Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka, terdiri daripada pekerja sendiri dan penganggur.
“Kita masih mengesan beberapa individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan ini,” jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 kerana memiliki bahan bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah; Seksyen 19 kerana tidak menunaikan solat Jumaat; dan Seksyen 54 kerana bersubahat.
JAIP dalam pada itu menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan kumpulan berkenaan agar tampil membantu siasatan.










