Warga Emas Alami Kemurungan Ditemui Mati Tergantung Di Pokok Rambutan

SIK: Seorang warga emas berusia 65 tahun ditemukan maut dalam keadaan tergantung pada sebatang pokok rambutan berhampiran rumahnya di Kampung Seri Aman, Jeneri, pagi semalam.

Mangsa yang bekerja sebagai penoreh getah ditemui oleh isterinya kira-kira jam 11.30 pagi, selepas menyedari suaminya tiada di rumah seperti kebiasaan.

Menurut wanita itu, dia terkejut apabila menemui suaminya tergantung di bawah pokok rambutan kira-kira 10 meter dari rumah, sebelum segera meminta anak mereka menghubungi pihak polis dan membuat laporan di Balai Polis Jeniang sekitar jam 12 tengah hari.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Safuan Md Noor, mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan siasatan bersama pihak Hospital Sik (HS) mendapati tiada sebarang kecederaan yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.

“Siasatan mendapati mangsa meninggal dunia akibat jerutan pada leher menggunakan tali kambing. Lelaki itu juga difahamkan mengalami kemurungan sejak sebulan lalu dan tidak banyak bercakap seperti biasa,” katanya seperti dipetik Astro Awani.

Mangsa turut mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan menerima rawatan bulanan di hospital.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Sik bagi tujuan bedah siasat.

BBerkaitan

Latest articles