KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump melahirkan rasa kagum terhadap tahap keselamatan dan penguatkuasaan Malaysia sepanjang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang berlangsung baru-baru ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Trump turut menyatakan hasrat untuk bertemu Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail bagi menyampaikan penghargaan secara peribadi atas profesionalisme luar biasa pasukan keselamatan negara.
Menurut Anwar, pujian itu susulan kecekapan dan disiplin tinggi ditunjukkan agensi keselamatan Malaysia ketika mengurus kehadiran pemimpin dunia termasuk Trump sendiri dan Perdana Menteri China, Li Qiang.
“Presiden Trump amat terkesan dan meminta untuk bertemu dengan Ketua Polis Negara bagi menyampaikan ucapan terima kasih atas usaha memastikan keselamatan delegasi antarabangsa,” katanya ketika merasmikan Malaysia Semiconductor IC Design Park 2, semalam.
Tambah beliau, kejayaan Malaysia mengendalikan persidangan berprofil tinggi itu turut menarik perhatian pelabur global.
“Sebuah kumpulan pelaburan besar dari New York menyatakan keyakinan terhadap kemampuan negara selepas melihat profesionalisme MITI, Kementerian Luar Negeri dan Polis Diraja Malaysia yang memastikan penganjuran berjalan lancar,” katanya.
Anwar menegaskan, pengiktirafan antarabangsa itu adalah hasil kerjasama mantap antara pelbagai agensi kerajaan.
Sebelum ini, Presiden China, Xi Jinping turut memuji Malaysia atas kejayaan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 serta kejayaan memeterai Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang turut disaksikan oleh Trump dan beliau sendiri.










