‘Inspektor Sheila’ Buat Hal Lagi, Serang Anggota Polis Tahan Warga Asing Tanpa Lesen

KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat insiden tular membabitkan seorang wanita dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ yang didakwa mempertikaikan tindakan anggota polis menahan seorang penunggang motosikal warga Pakistan di Jalan Ipoh, Selasa lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kejadian berlaku sekitar jam 9.30 malam di hadapan sebuah restoran apabila anggota polis menahan lelaki warga asing berusia 34 tahun kerana menunggang motosikal tanpa lesen.

“Ketika anggota menjalankan tugas, seorang wanita tiba-tiba datang dari arah belakang dan menuduh anggota terbabit mengugut lelaki warga Pakistan itu. Dia turut mempertikaikan tindakan mereka serta memperlekehkan undang-undang sambil merakam kejadian menggunakan telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Fadil, anggota yang terbabit dalam insiden berkenaan telah membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan tersebut, manakala siasatan kini sedang dijalankan bagi menentukan tindakan lanjut.

“Hasil semakan mendapati wanita itu, Sheila Sharon, merupakan pegawai polis yang telah ditahan kerja pada 23 Jun 2023. Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil,” jelasnya.

Terdahulu tular di media sosial rakaman video wanita berkenaan yang membuat sesi siaran langsung di TikTok bersama lelaki Pakistan itu, sambil mendakwa dirinya masih bertugas sebagai anggota polis di Bukit Aman.

BBerkaitan

Latest articles