Selesai Peperiksaan, Calon SPM Cemas Bapa Diserang Sawan Ketika Memandu

BALING: Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berdepan detik mencemaskan apabila kereta dipandu bapanya merempuh dinding sebuah rumah dalam pembinaan di Kampung Charuk Sikin, Kupang, petang smealam.

Pelajar berkenaan baru sahaja menamatkan kertas peperiksaan hari pertama sebelum dijemput pulang oleh bapanya.

Namun, ketika dalam perjalanan, lelaki berusia 40-an itu tiba-tiba diserang sawan dan cuba mengawal stereng bagi mengelak melanggar orang awam.

Usaha itu bagaimanapun gagal apabila kereta jenis Perodua Viva dipandunya terbabas lalu merempuh dinding rumah terbabit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Zulkhairi Mat Tanjil, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.35 petang.

“Bapa mangsa sempat tersepit tetapi tidak mengalami kecederaan serius dan berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam,” katanya.

Menurutnya, pelajar terbabit mengalami luka kecil di bibir manakala bapanya cedera ringan di kepala.

Difahamkan, lelaki itu mempunyai sejarah penyakit sawan tarik dan diserang penyakit berkenaan sejurus sebelum kejadian.

Seramai enam anggota bomba diketuai PBK II Zulhelmi Bahari memberi rawatan awal sebelum mangsa diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan lanjut.

BBerkaitan

Latest articles