Namewee Kena Reman Enam Hari

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pengarah kontroversi, Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee, direman selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung kematian pempengaruh Taiwan, Hsieh Yu-hsin, yang ditemui mati di sebuah hotel di ibu negara bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam, mengesahkan perintah reman itu yang berkuat kuasa sehingga 10 November.

Terdahulu, Namewee menyerah diri kepada polis pagi tadi selepas diminta hadir bagi membantu siasatan. Beliau dilaporkan datang dari Johor ke Kuala Lumpur dan menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama penuh.

“Ya, saya datang sendiri… tapi mungkin sesekali saya akan melarikan diri,” katanya secara berseloroh ketika tiba di ibu pejabat polis, menurut laporan media tempatan.

Sebelum ini, polis Kuala Lumpur memaklumkan bahawa mereka gagal mengesan Namewee susulan kematian Hsieh, yang dipercayai ditemui tidak bernyawa dalam tab mandi hotel berkenaan.

Difahamkan, kedua-duanya bertemu di hotel tersebut bagi membincangkan penggambaran video bersama sebelum tragedi berlaku.

Namewee sebelum ini ditahan pada 22 Oktober di lokasi sama selepas penemuan sembilan pil biru disyaki ekstasi dalam bilik hotelnya.

Hasil ujian saringan air kencing turut mendapati beliau positif amphetamine, methamphetamine, ketamine dan THC.

Penyanyi itu telah dakwa atas kesalahan memiliki dan menggunakan dadah, namun mengaku tidak bersalah.

Mahkamah kemudiannya membenarkan beliau diikat jamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan.

Sementara itu, polis semalam mengesahkan kematian Hsieh kini diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh, berbeza dengan laporan awal yang menganggapnya sebagai mati mengejut.

Siasatan lanjut masih diteruskan termasuk bagi mengenal pasti motif serta kaitan individu tertentu dalam kejadian tersebut.

BBerkaitan

Latest articles