ALOR GAJAH: Cinta di usia senja berakhir dengan malu apabila sepasang warga emas yang pernah ditahan kerana disyaki berkhalwat, sekali lagi dicekup bersekedudukan di rumah lelaki berusia 81 tahun di Lubok China, malam Isnin lalu.
Serbuan sekitar jam 10 malam itu dilakukan oleh sekumpulan penduduk kampung bersama imam, ketua kampung serta anggota polis selepas menerima aduan pasangan berkenaan kerap dilihat berdua-duaan di kawasan tersebut.
Menurut sumber, lelaki berkenaan yang baru kehilangan isteri sebulan lalu sering dilihat keluar bersama wanita berusia 69 tahun dari kampung bersebelahan sebelum akhirnya dicekup di rumahnya sendiri.
“Hasil pemeriksaan mendapati mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen sah pernikahan. Difahamkan, ini bukan kali pertama pasangan itu ditahan,sebelum ini mereka pernah dicekup di rumah wanita terbabit,” katanya.
Tambah sumber, pasangan itu dikatakan pernah merancang untuk bernikah, namun hasrat tersebut tidak kesampaian selepas wanita berkenaan dilaporkan mengalami gangguan mental ringan.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekedudukan tanpa nikah.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed berkata, pihak polis hanya membantu dari aspek keselamatan semasa operasi bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini.
Terdahulu, beberapa gambar serbuan itu tular di media sosial, mengundang pelbagai reaksi daripada warganet yang rata-ratanya terkejut dengan tindakan pasangan warga emas berkenaan.










