BACHOK: Penduduk di kawasan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pak Badol dikejutkan dengan penemuan seorang bayi lelaki cukup sifat yang masih hidup dan dipercayai baru dilahirkan, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohd Ismail Jamaluddin, mengesahkan pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu selepas Balai Polis Gunong dimaklumkan oleh Klinik Kesihatan Mahligai pada jam 8.45 pagi.
Menurut beliau, bayi berkenaan ditemui dalam keadaan tidak berpakaian dan hanya dibalut dengan kain berwarna hijau di sebuah bangunan yang masih dalam pembinaan berhampiran sekolah berkenaan.
“Pemeriksaan awal mendapati bayi itu tidak mengalami kecederaan fizikal, namun terdapat kesan kemerahan pada wajah, dipercayai baru dilahirkan,” katanya.
Bayi berkenaan kini dirujuk ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) untuk rawatan lanjut dan berada dalam keadaan stabil.
Mohd Ismail berkata, polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab meninggalkan bayi malang itu, dan kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Nurul Aida Jaafar di talian 014-2714926 atau mana-mana balai polis berhampiran.










