PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) bakal mempertaruhkan hampir 80 peratus muka baharu sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijadual berlangsung hujung bulan ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, proses pemilihan calon kini berada pada peringkat akhir dan hampir dimuktamadkan.
“Perbincangan sudah mencapai sekitar 95 peratus dan saya rasa hampir 80 peratus calon nanti terdiri daripada wajah baharu,” katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Festival Idea (FOI) Putrajaya 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Mengulas mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi BN Sabah, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menjelaskan pengumuman rasmi akan dibuat minggu depan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan tarikh penamaan calon pada 15 November, pengundian awal pada 25 November, manakala hari mengundi ditetapkan pada 29 November.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah mempunyai 79 kerusi dengan 73 daripadanya dipertandingkan, manakala enam lagi diisi melalui pelantikan.
Pada PRN Sabah 2020, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang ketika itu disertai Perikatan Nasional, BN, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan calon bebas berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 41 daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.
Sementara itu, Parti Warisan memperoleh 23 kerusi dan Pakatan Harapan (PH) memenangi sembilan.
GRS secara rasmi didaftarkan pada Mac 2022, terdiri daripada Bersatu, PBS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP), tanpa penyertaan BN dan Pas.










