Kuota BUDI95 Pemandu E-Hailing Naik Jadi 800 Liter Sebulan

PUTRAJAYA: Berita gembira buat pemandu e-hailing sepenuh masa apabila kerajaan pada hari ini mengumumkan peningkatan kuota tambahan Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) daripada 600 liter kepada 800 liter sebulan, berkuat kuasa November ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah itu dibuat selepas kerajaan meneliti maklum balas dan keperluan semasa lebih 58,000 pemandu e-hailing yang aktif dengan jumlah perjalanan mencecah 5,000 kilometer (km) sebulan.

“Untuk Oktober lalu, pemandu e-hailing aktif telah menerima kelayakan sehingga 600 liter sebulan. Namun, ramai menyatakan ia masih belum mencukupi. Maka, kerajaan bersetuju menaikkan had kelayakan kepada 800 liter sebulan bagi mereka yang memenuhi syarat,” katanya ketika sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Anwar, keputusan itu sejajar dengan semangat MADANI yang menekankan keprihatinan terhadap kelompok rakyat yang benar-benar memerlukan, termasuk mereka yang bergantung sepenuhnya kepada pemanduan sebagai sumber pendapatan utama.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa kelayakan BUDI95 kini diperluaskan kepada nelayan tanpa lesen memandu tetapi berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta agensi kerajaan di Sabah dan Sarawak.

Setakat 31 Oktober 2025, hampir 24,000 pengguna bot berdaftar tanpa lesen diluluskan untuk menerima manfaat tersebut.

Turut menerima manfaat baharu ialah pemandu teksi lapangan terbang, yang kini tersenarai dalam Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) selepas sebelum ini tidak layak menerima subsidi petrol RON95.

Menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong mengenai isu isteri warga asing kepada Orang Kurang Upaya (OKU) yang tidak layak menerima BUDI95, Perdana Menteri memberi jaminan kerajaan bersedia menimbang permohonan kes tertentu.

“Kes-kes sebegini tidak ramai, tapi kita tetap beri ruang pertimbangan kerana semangat MADANI ialah ihsan dan kemanusiaan,” jelas beliau.

BBerkaitan

Latest articles