Tiada Kebakaran LRT Seperti Didakwa – Prasarana

KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menafikan dakwaan kononnya berlaku kebakaran membabitkan tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang seperti yang tular di media sosial sejak semalam.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Prasarana menegaskan bahawa tiada sebarang insiden kebakaran melibatkan mana-mana gerabak atau fasiliti kendalian Rapid KL, sekali gus menolak kesahihan video yang dikongsi di platform TikTok dan beberapa laman lain.

“Hasil semakan dalaman dan pengesahan daripada pasukan operasi mendapati semua perkhidmatan tren berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan,” katanya.

Menurut Prasarana, penyebaran maklumat palsu seperti itu bukan sahaja boleh mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna, malah turut menjejaskan reputasi sistem pengangkutan awam negara.

“Pihak kami memandang serius perbuatan menyebarkan berita tidak benar dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang bertanggungjawab menimbulkan kekeliruan awam,” tegas kenyataan itu.

Orang ramai turut diingatkan supaya berhenti menyebarkan kandungan yang tidak sahih serta mendapatkan maklumat terkini hanya melalui saluran rasmi Rapid KL.

Terdahulu, satu video yang memaparkan sebuah gerabak tren terbakar, didakwa daripada laluan Ampang, menjadi tular di TikTok dan menarik perhatian ramai. Bagaimanapun, hasil semakan mendapati video berkenaan telah dipadamkan daripada platform berkenaan hari ini.

Prasarana menegaskan bahawa semua operasi LRT, MRT dan monorel di bawah kendaliannya kekal berfungsi seperti biasa tanpa sebarang gangguan keselamatan.

BBerkaitan

Latest articles