Selepas Kes Budak Kena Kelar, Roblox Jamin Perketat Keselamatan, Guna AI, Pemantauan Manusia

KUALA LUMPUR: Platform permainan popular Roblox memberi jaminan akan memperkukuh sistem keselamatan pengguna dengan gabungan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pemantauan manusia, susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap risiko kepada kanak-kanak.

Langkah itu diumumkan selepas pertemuan antara pihak Roblox dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang turut menzahirkan kebimbangan beliau mengenai keselamatan serta pengaruh permainan dalam talian terhadap emosi dan tingkah laku kanak-kanak.

Menurut Hannah, Roblox turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia, termasuk dalam aspek perkongsian data dan pematuhan terhadap peraturan tempatan.

“Sebagai menteri dan juga seorang ibu, saya amat bimbang melihat bagaimana sesetengah permainan dalam talian boleh mempengaruhi minda dan emosi anak-anak. Dengan lebih 100 juta pengguna global, termasuk lebih sejuta di Malaysia, tanggungjawab melindungi pengguna muda tidak boleh dipandang ringan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau menegaskan, dunia digital harus menjadi ruang yang bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga mampu membentuk karakter dan nilai positif dalam kalangan generasi muda.

Sebelum ini, Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut memaklumkan sedang meneliti mekanisme kawal selia baharu bagi memastikan keselamatan pengguna bawah umur dalam aplikasi media sosial dan permainan atas talian.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata langkah itu diambil selepas kejadian mengejutkan di Batu Pahat, Johor, apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun parah dikelar dan ditikam, dipercayai oleh abangnya yang berusia sembilan tahun.

Siasatan awal mendapati suspek bertindak agresif selepas marah permainan Roblox miliknya terganggu dan kehilangan hampir sejuta mata ganjaran apabila telefon bimbitnya rosak.

BBerkaitan

Latest articles