Isu Kampung Sungai Baru – Jinjang Selatan Selamat, “Adakah Wujud Layanan Dua Darjat?”

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh mempersoalkan tindakan tidak konsisten pihak berkuasa dalam isu perobohan rumah di Kampung Sungai Baru dan Jinjang Selatan Tambahan.

Menurut beliau, penduduk Kampung Sungai Baru yang merupakan pemilik tanah berdepan perobohan rumah, sedangkan penduduk Jinjang Selatan Tambahan yang dikatakan mendiami tanah milik kerajaan masih kekal tanpa tindakan.

“Kenapa rumah di Kampung Sungai Baru dirobohkan, sedangkan di Jinjang Selatan Tambahan tidak dirobohkan? Adakah wujud layanan dua darjat?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Dr Akmal merujuk laporan media mengenai penduduk dan peniaga di Jinjang Selatan Tambahan yang menarik nafas lega selepas dimaklumkan tiada perobohan dijalankan, walaupun wujud arahan mahkamah untuk mereka berpindah.

Beliau menegaskan, isu ini menimbulkan persoalan besar kerana status pemilikan kedua-dua kawasan berbeza, namun tindakan yang diambil seakan bercanggah dengan prinsip keadilan.

“Kampung Sungai Baru adalah tanah milik penduduk sendiri, manakala Jinjang Selatan hanyalah dikatakan menyewa. Kenapa tindakan pihak berkuasa berbeza?” tegas ADUN Merlimau itu.

Akmal berkata, rakyat kini memerhati bagaimana kerajaan menguruskan isu pembangunan semula bandar, dan kegagalan memberi penjelasan hanya akan mengundang lebih banyak keraguan.

Beliau menegaskan Pemuda UMNO akan terus membela suara rakyat yang terkesan, selain mendesak kerajaan menilai semula dasar perumahan agar lebih adil dan tidak mengorbankan hak penduduk.

BBerkaitan

Latest articles