GOMBAK: Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun maut, manakala empat lelaki cedera selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kereta di Lebuhraya Karak, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2 pagi sebelum menghantar sebuah jentera bersama enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang ke lokasi.
“Siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan iaitu Perodua Ativa, Perodua Myvi dan Honda City. Empat lelaki berusia 20-an dilaporkan selamat.
“Bagaimanapun, seorang penumpang wanita berusia 19 tahun yang tersepit di dalam kereta Honda City disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.