MELAKA: Sebuah restoran mi segera di Kampung Jawa yang tular kerana mempamerkan haiwan eksotik alpaka bersama 22 haiwan lain termasuk kambing, itik, angsa, arnab dan kucing sebagai tarikan pelanggan diarahkan tutup selama tujuh hari serta dikenakan kompaun RM10,250.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, tindakan itu diambil selepas pemeriksaan mendapati premis berkenaan melanggar garis panduan pihak berkuasa tempatan.
“Pemilik restoran dikenakan kompaun RM10,000 di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 2001, manakala RM250 lagi kerana melanggar syarat Undang-undang Kecil Petempatan Makanan (MBMB) 2020.
“Kita juga mengarahkan restoran itu ditutup mulai hari ini sehingga 28 September untuk kerja-kerja pembersihan dan mengeluarkan semua haiwan daripada premis,” katanya selepas mengetuai operasi pemeriksaan awal pagi tadi.
Menurut beliau, lesen perniagaan makanan restoran itu dikeluarkan pada April lalu, namun pemilik premis mula membawa masuk haiwan secara berperingkat sejak Jun, termasuk seekor alpaka yang dipamerkan di ruang bawah restoran pada waktu tertentu.
Shadan menegaskan, kesalahan memelihara dan mempamerkan 23 haiwan dalam premis makanan tidak dibenarkan sama sekali, menjadikan kes ini yang pertama seumpamanya dikesan di Melaka.
Sementara itu, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, cadangan garis panduan khusus perlu diwujudkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri berhubung aktiviti seumpama itu.
“Dari sudut pelancongan, idea restoran berkonsepkan haiwan ini memang menarik, khususnya untuk kanak-kanak. Namun, perlu ada garis jelas sama ada haiwan ini boleh terus ditempatkan di dalam bilik khas atau perlu dikembalikan ke habitat lebih sesuai selepas dipamerkan,” katanya.