20 Pegawai Imigresen Dipecat, 227 Disiasat Bukti Kerajaan Komited Banteras Rasuah

KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani membuktikan ketegasan dalam memerangi rasuah apabila 20 pegawai Jabatan Imigresen yang terbabit dalam skandal ‘counter-setting’ telah dipecat, manakala 227 lagi individu sedang disiasat pihak berkuasa.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, tindakan pantas itu menunjukkan kesungguhan kerajaan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membanteras amalan yang mencalar integriti perkhidmatan awam.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menekankan bahawa hanya dalam setahun, kerajaan Madani berjaya merampas aset haram bernilai lebih RM5 bilion hasil langkah anti-rasuah. Ini bukan sahaja mengembalikan wang rakyat, tetapi juga menghantar mesej jelas kepada dunia bahawa Malaysia serius dan tidak berkompromi dengan rasuah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, reformasi perundangan yang diluluskan baru-baru ini, termasuk Akta Perolehan Kerajaan 2025 dan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025, membuktikan komitmen kerajaan memperkukuh integriti, menghapuskan pembaziran serta mengurangkan kerenah birokrasi sehingga 25 peratus.

“Reformasi besar ini akan membawa kesan nyata kepada rakyat dan ekonomi negara. Dengan pembaharuan berterusan, kerajaan yakin Malaysia mampu memperbaiki kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) global, seterusnya mencapai sasaran berada dalam kelompok 30 negara paling rendah rasuah di dunia,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles