IPOH: Seorang lelaki berperwatakan wanita ditemui maut dalam keadaan tragis apabila dipercayai dibunuh sebelum digilis lori di lorong berhampiran Jalan Horley, Kampung Jawa, awal pagi tadi.
Mayat mangsa ditemukan seorang pekerja hotel sekitar jam 6 pagi dalam keadaan berlumuran darah dengan rambut palsu berwarna perang masih terletak di sisinya.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di kepala serta bahagian belakang badan.
“Tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mangsa. Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kejadian berlaku pada jam 4.24 pagi apabila mangsa dilihat dikejar sebuah lori bonded berwarna putih.
“Rakaman turut menunjukkan berlaku pergelutan dengan suspek sebelum mangsa terjatuh lalu digilis dan ditinggalkan di lokasi,” katanya.
Menurut beliau, siasatan lanjut berjaya mengenal pasti pemilik serta pemandu lori terbabit dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
“Bedah siasat di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mengesahkan punca kematian akibat kecederaan parah di kepala dan dada kesan pelanggaran jalan raya.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” jelasnya.
Polis turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintenden Mahani Mohammed di talian 019-2618221 atau mana-mana balai polis berhampiran.