SUBANG: Pembangunan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) di Malaysia tidak boleh sekadar meniru model luar, sebaliknya perlu dibentuk mengikut acuan tempatan yang meraikan kepelbagaian bangsa, agama dan disiplin ilmu masyarakat negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pendekatan itu penting supaya produk dan perkhidmatan berasaskan AI yang dihasilkan mampu menampilkan identiti Malaysia di mata dunia, selain menyemai semangat patriotisme.
“AI ini berfungsi berdasarkan input yang dimasukkan. Jika hanya dipengaruhi maklumat dari Amerika, Rusia atau China tanpa sentuhan budaya, agama dan bahasa kita, hasil akhirnya tidak akan mencerminkan wajah Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program CD:NXT CelcomDigi di Subang Hi-Tech Industrial Park, hari ini.
Turut hadir, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
CD:NXT merupakan inisiatif strategik CelcomDigi Berhad bagi melahirkan barisan pemimpin digital baharu, sekali gus mengukuhkan aspirasi Malaysia ke arah membina ekonomi digital berteraskan teknologi 5G dan AI.
Menurut Anwar, pembangunan bakat muda dalam bidang digital juga mesti memenuhi tuntutan dan keperluan negara.
“Latihan bakat bukan sahaja perlu menguasai teknologi global, tetapi dalam masa sama mempertahankan nilai, sikap dan identiti kita. Hanya dengan cara itu, inovasi Malaysia akan dikenali dunia,” katanya.