SHAH ALAM: Lebih 40 kenderaan hangus dalam kebakaran besar yang memusnahkan sebuah bengkel tayar di Seksyen 24, lewat malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, dalam kejadian sekitar jam 11.30 malam itu, premis berkenaan terbakar hampir 90 peratus.
“Kebakaran mengakibatkan 37 kereta dan tujuh motosikal musnah. Seorang pekerja lelaki tempatan berusia 30-an turut mengalami kecederaan ringan selepas melecur di tangan ketika cuba mengalihkan kenderaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 11.31 malam sebelum sepasukan anggota dari BBP Shah Alam dan BBP Bukit Jelutong digegaskan ke lokasi.
Api berjaya dikawal pada jam 12.26 tengah malam sebelum operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya kira-kira dua jam kemudian.
Setakat ini, punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.