YTL Perkenal Ryt Bank, Bank Dikuasakan AI Pertama Dunia

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) – Menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-68, YTL Group hari ini melancarkan Ryt Bank, bank pertama di dunia yang dijana kecerdasan buatan (AI), menggabungkan inovasi bertaraf dunia dengan nilai, bahasa dan gaya hidup masyarakat Malaysia.

Pengarah Urusan YTL Power International, Dato’ Seri Yeoh Seok Hong, berkata Ryt Bank membuktikan kemampuan Malaysia melahirkan inovasi digital bertaraf global.

“Ryt Bank menggunakan bahasa kita, memahami budaya kita dan menetapkan piawaian baharu untuk pengalaman perbankan digital rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aplikasi Ryt Bank boleh diakses dalam Bahasa Malaysia, Inggeris dan Mandarin bermula September, menjadikannya mesra pengguna merentasi komuniti.

Antara produk utama ialah Ryt AI, pembantu perbankan pintar berasaskan model bahasa besar ILMU yang dibangunkan di Malaysia, berfungsi membantu pelanggan membayar bil, menjejak perbelanjaan serta memberi panduan kewangan dalam bahasa harian.

Bank itu turut menawarkan simpanan dengan faedah sehingga 4 peratus setahun, kemudahan Ryt PayLater dengan kredit segera tanpa faedah pada bulan pertama, serta Kad Ryt Visa yang boleh ditukar serta-merta antara debit dan kredit.

Ryt Bank beroperasi dengan lesen rasmi Bank Negara Malaysia dan setiap deposit dilindungi oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) sehingga RM250,000, selain dilengkapi ciri keselamatan seperti log masuk biometrik, penyulitan berlapis dan amaran penipuan masa nyata.

YTL menegaskan bahawa Ryt Bank bukan sekadar produk kewangan, sebaliknya melambangkan kemampuan Malaysia menginovasikan teknologi digital demi kesejahteraan rakyat.

Aplikasi Ryt Bank kini boleh dimuat turun melalui App Store dan Google Play.

BBerkaitan

Latest articles