SHAH ALAM: Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun maut selepas motosikal ditungganginya terbabas sebelum terhumban dari jejambat setinggi 21 meter di Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, nahas berlaku sekitar jam 10.40 pagi di susur 1/B 0.5 berhampiran Persiaran Pulau Angsa.
“Siasatan awal mendapati mangsa, seorang pelajar kolej swasta, dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh lalu melanggar pembahagi jalan sebelum terjatuh ke kawasan berumput di bawah jejambat.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Iqbal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis kini mengesan saksi untuk membantu siasatan dan orang ramai diminta menghubungi Pegawai Penyiasat BSPT IPD Shah Alam, Inspektor Nur Iqmal Maisarah Azman di talian 017-2836851 jika mempunyai maklumat.
Difahamkan, kejadian itu adalah insiden kedua dalam tempoh sebulan di lokasi sama.
Pada 26 Julai lalu, seorang lelaki berusia 23 tahun turut maut selepas motosikalnya terbabas sebelum terjatuh dari jejambat setinggi 21 meter di laluan berkenaan.