Agong Rasmi Laman Rel Mahkota, Pandu Sendiri Tren ETS3 Ke Kluang

KLUANG: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan mencemar duli merasmikan Laman Rel Mahkota di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Kluang sambil memandu sendiri tren elektrik generasi baharu, ETS3, dari Kuala Lumpur ke Johor.

Laman Rel Mahkota yang dibangunkan sepanjang 2.8 kilometer di bawah jajaran viaduct Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru bakal dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 25 Ogos 2025 (Isnin).

Taman awam ikonik itu dijangka menjadi tarikan baharu di Kluang.

Seri Paduka Baginda tiba di Stesen Kluang sekitar jam 11.15 pagi selepas berangkat dari Stesen Kuala Lumpur dengan menaiki ETS3, sebuah tren berkelajuan tinggi yang mampu mencecah 140 kilometer sejam.

Keberangkatan Baginda diiringi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Selepas selesai majlis, Sultan Ibrahim kembali berangkat pulang ke Kuala Lumpur dengan menaiki tren sama.

Dalam majlis berkenaan, Anthony Loke mengumumkan perkhidmatan ETS3 bagi laluan KL Sentral–Kluang–KL Sentral akan mula beroperasi pada 30 Ogos 2025.

“Orang ramai boleh mendapatkan tiket bermula 23 Ogos ini, jam 8 malam melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS), mesin kiosk atau laman sesawang rasmi KTMB,” katanya.

Minat mendalam Sultan Ibrahim terhadap dunia perkeretaapian bukanlah perkara baharu.

Pada 2010, Baginda pernah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai Sultan pertama negara ini memiliki Lesen Memandu Lokomotif Berkuasa Tinggi Kelas 26.

Baginda juga pernah mengendalikan lokomotif seberat 86 tan termasuk melakukan prosedur turn table dalam tempoh 10 minit di Stesen Gemas, Negeri Sembilan.

Malah, pada program Kembara Mahkota Johor 2010, Baginda memandu tren sejauh 391.3 kilometer dalam tempoh tiga hari.

Terbaharu, pada Selasa lalu, Sultan Ibrahim turut memandu tren ETS2 dari Kuala Lumpur ke Rawang, menunjukkan minat Baginda yang konsisten terhadap sistem pengangkutan rel negara.

Anthony Loke sebelum ini memaklumkan, dua set tren ETS3 jenis Electric Multiple Unit (EMU) untuk laluan selatan ke Johor Bahru kini sedang menjalani ujian teknikal dan dijangka beroperasi sepenuhnya hujung bulan ini sekiranya semua berjalan lancar.

BBerkaitan

Latest articles