KUALA LUMPUR: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) mengeluarkan Notis Penolakan Masuk (NPM) kepada tujuh warga asing yang cuba memasuki negara melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, semalam.
AKPS dalam kenyataan memaklumkan, lima lelaki warga India, seorang lelaki Thailand dan seorang wanita Indonesia itu diberikan NPM selepas disyaki bukan pelancong tulen.
“Kesemua mereka diberi notis berkenaan mengikut Seksyen 8(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memenuhi syarat kemasukan sebagai pelawat ke Malaysia. Mereka telah diarahkan untuk berpatah balik ke negara asal melalui laluan masuk yang sama.
“Tindakan penolakan masuk itu dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan pekeliling jabatan yang sedang berkuat kuasa. Tiada sebarang rampasan dan elemen jenayah dikenal pasti dalam kes ini,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, dalam kes berasingan semalam, AKPS telah menyita 20,000 kilogram (kg) produk makanan longan kering tanpa jenama yang didapati tidak mematuhi Akta Pemakanan 1985 perihal pelabelan produk.
“Sitaan itu dilakukan dalam operasi yang dijalankan bermula pada 8.30 malam, produk itu telah dibawa masuk bersama dengan barangan dagangan lain menggunakan laluan perdagangan. Jumlah rampasan dianggarkan bernilai lebih RM480,000, bagaimanapun tiada sebarang tangkapan dibuat.
“Pihak ejen pengimport telah memilih untuk melaksanakan proses eksport semula ke negara asal dan tindakan selanjutnya akan dilaksanakan setelah mendapat kelulusan mengikut prosedur sedia ada,” menurut kenyataan itu.
AKPS sentiasa komited untuk memastikan setiap produk makanan yang dibawa masuk ke negara ini mematuhi undang-undang dan piawaian keselamatan makanan.
“Kerjasama erat dengan semua agensi penguatkuasaan lain akan terus diperkukuh demi menjamin keselamatan pengguna serta kedaulatan sempadan negara terjaga,” menurut agensi itu. – BERNAMA