KUANTAN: Pemuda UMNO Pahang mengeluarkan amaran keras kepada Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Lokman Noor Adam agar menghentikan tindakan yang didakwa menjadi beban serta merosakkan imej parti.
Ketuanya, Mohd Kamil Ibrahim berkata, kenyataan melulu dan serangan terbuka Lokman terhadap Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh, hanya menjejaskan maruah parti.
“Fitnah yang dilemparkan bukan sahaja tidak berasas, malah meletakkan Lokman sebagai liabiliti terbesar kepada UMNO serta menyerlahkan peranannya sebagai barua kepada pihak lawan.
“Sebagai Ahli MKT dan Pengarah Komunikasi UMNO, seharusnya beliau memperkukuh parti, tetapi setiap kali bersuara hanya membawa bala, menghakis keyakinan rakyat serta menyakitkan hati akar umbi,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Mohd Kamil, UMNO Bahagian Wangsa Maju wajar mengambil tindakan menolak politik sempit yang dibawa Lokman, manakala kepimpinan pusat perlu mengkaji semula kedudukan serta jawatannya dalam parti.
“UMNO tidak boleh terus dibebani dengan liabiliti bernama Lokman Adam,” tegasnya.
Terdahulu, tular klip video temu bual Lokman di media sosial yang memaparkan beliau menggelar Muhamad Akmal sebagai “Ketua Pemuda H2O” serta mendakwa kononnya Akmal mempunyai agenda tersembunyi untuk menaikkan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Perdana Menteri.