KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan siasatan polis terhadap editor portal berita MalaysiaNow, Abdar Rahman Koya, sebagai tindakan berlebihan dan bercanggah dengan prinsip kebebasan media dalam sistem demokrasi negara.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, siasatan itu kelihatan lebih berbentuk intimidasi untuk mengunci mulut media daripada mendedahkan isu melibatkan kepentingan awam.
“Pihak terlibat dalam dakwaan sudah pun menafikan, menjelaskan, malah mengambil tindakan saman sivil terhadap Abdar Rahman dan MalaysiaNow. Maka, keperluan siasatan polis ini boleh dianggap tidak mendesak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Abdar Rahman difahamkan disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia berhubung laporan mengenai dakwaan skandal pemberian lesen penerokaan mineral di Sabah yang dikaitkan dengan syarikat milik bersama ahli perniagaan terkenal, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador, bekas pegawai kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Khamis lalu, Farhash bersama dua individu lain memfailkan saman fitnah RM10 juta terhadap MalaysiaNow dan editornya, selain menuntut permohonan maaf terbuka serta pemadaman artikel berkenaan.
Mengulas lanjut, PAS turut membandingkan kes itu dengan pendakwaan terhadap wartawan Malaysiakini, B. Nantha Kumar, di bawah Akta SPRM susulan laporan mengenai dakwaan kartel kemasukan pekerja asing di KLIA pada Februari lalu.
“Badan penguat kuasa sepatutnya menumpukan siasatan kepada salah laku atau jenayah yang didedahkan, bukan menyasarkan wartawan yang melaporkannya. Tindakan sebegini dilihat sebagai langkah mundur yang bertentangan dengan peranan media sebagai tonggak demokrasi,” tegas Takiyuddin.
Menurutnya lagi, kebebasan bersuara dan fungsi semak imbang media mesti dipelihara, manakala badan penguat kuasa wajar bebas daripada sebarang bentuk pengaruh luar.