Warga Singapura Dipenjara 72 Tahun, Sebatan Atas Kes Penggal Isteri, Bunuh Anak Tiri

MELAKA: Seorang lelaki warga Singapura dijatuhi hukuman penjara 72 tahun dan 24 sebatan selepas didapati bersalah membunuh isteri serta anak tirinya dalam insiden tragis enam tahun lalu yang mengejutkan negara.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Anselm Charles Fernandis, menjatuhkan hukuman itu terhadap Shahrul Nizam Zuraimy, 36, selepas mahkamah mendapati beliau bersalah atas dua pertuduhan membunuh pada Oktober 2019.

Bagi setiap kesalahan, tertuduh dihukum 36 tahun penjara dan 12 sebatan, dengan arahan hukuman berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tangkapannya pada 11 Oktober 2019.

Dalam penghakimannya, hakim menegaskan perbuatan tertuduh adalah amat kejam apabila mengerat tubuh kedua-dua mangsa, meletakkan kepala isterinya di atas siling rumah serta membuang sebahagian anggota badan di kawasan semak untuk menghapuskan bukti.

“Tiada alasan munasabah diberikan. Tindakan menyembunyikan kepala mangsa di atas bumbung jelas bertujuan mengelak dikesan. Mahkamah berpendapat tertuduh mahu menutup identiti mangsa,” katanya.

Mangsa, Norfazera Bidin, 27, dan anaknya, Muhammad Iman Ashraf Abdullah, 11, dibunuh di rumah sewa mereka di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, antara jam 6 petang 6 Oktober hingga 7.30 pagi 7 Oktober 2019.

Kes ini dikendalikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun hingga maksimum 40 tahun berserta sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asri Abd. Rahman Sidik dan Nur Syazwanie Marizan, menuntut hukuman gantung sampai mati atas faktor kepentingan awam, tahap kekejaman dan jumlah mangsa.

Namun, mahkamah memilih hukuman penjara panjang secara berasingan.

Sebelum keputusan dijatuhkan, ibu dan kakak Norfazera turut memberikan kenyataan impak emosi, menyifatkan trauma yang dialami keluarga tidak dapat digambarkan dan mendesak agar nyawa dibalas dengan nyawa.

Peguam bela, Andrew Lourdes dan Chua Yong Yi, merayu supaya anak guam mereka diberi peluang kedua, dengan alasan tertuduh sudah insaf dan menyesal.

Perbicaraan kes yang menggemparkan itu bermula sejak 11 Jun 2020, melibatkan 26 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan sebelum mahkamah akhirnya menjatuhkan hukuman hari ini.

BBerkaitan

Latest articles