Najib Mohon Bukti Baharu, Mahkamah Tinggi Tetapkan 19 Sept Untuk Dengar Permohonan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 19 September ini bagi mendengar permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mahu mengemukakan bukti baharu dalam semakan kehakimannya berhubung titah adendum yang didakwa membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Bukti tersebut merujuk kepada sepucuk surat bertarikh 4 Januari daripada Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang kepada anak Najib, Nizar, yang dikatakan mengesahkan kewujudan titah berkenaan.

Hakim Loke Yee Ching menetapkan tarikh tersebut semasa pengurusan kes pagi tadi.

Pada tarikh sama, mahkamah juga akan mendengar permohonan kerajaan untuk mendapatkan perintah larangan (gag order) agar orang awam tidak membincangkan perkara berkaitan semakan kehakiman itu.

Najib diwakili oleh peguam Tan Sri Shafee Abdullah, manakala kerajaan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan.

Turut hadir sebagai pemerhati ialah bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, bagi pihak tiga Ahli Parlimen iaitu Ahmad Samsuri Mokhtar, Hamzah Zainudin dan Ronald Kiandee.

Prosiding ini berkaitan dengan titah adendum yang didakwa dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.

Pada 13 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan majoriti Mahkamah Rayuan yang membenarkan Najib mengemukakan bukti tambahan, sekaligus mengarahkan Mahkamah Tinggi mendengar permohonan semakan kehakimannya.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Beliau sebelum ini memfailkan petisyen pengampunan diraja pada 2 September 2022. Hasil keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, hukuman penjara Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala dendanya diturunkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

BBerkaitan

Latest articles