KOTA KINABALU: Prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, akan bermula pada 3 September 2025 dan dijadualkan berlangsung selama 19 hari.
Tarikh prosiding yang ditetapkan Koroner merangkap Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz, adalah pada 3, 4, 8 hingga 12, 17 hingga 19 serta 22 hingga 30 September, menurut sebutan kes terbaharu di Mahkamah Koroner hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairus Johari, yang dilantik sebagai pengendali kes memaklumkan, seramai 195 saksi telah dirakam keterangan dan akan disenaraikan secara rasmi sebelum prosiding bermula.
Bagaimanapun, peguam keluarga mangsa, Hamid Ismail, berkata jumlah itu akan diteliti semula bagi memastikan hanya saksi yang relevan dipanggil memberi keterangan.
“Kami hadir mewakili ibu arwah. Beliau akan dipanggil sebagai saksi, manakala kami telah memohon kebenaran untuk turut menyoal bagi menyokong pihak pendakwaan,” jelas Hamid pada sidang media selepas prosiding.
Beliau menjelaskan pasukan guamannya pada masa ini bertindak sebagai pemerhati, namun sudah menfailkan permohonan rasmi untuk menjadi pihak yang boleh menyoal saksi sepanjang inkues.
Semalam, Mahkamah Koroner Kota Kinabalu mengesahkan inkues akan dijalankan selepas permohonan dikemukakan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, selaras dengan subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah.
Keputusan itu dibuat selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) meneliti laporan siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 12 Ogos lalu.
Inkues tersebut bertujuan mengenal pasti punca dan sebab kematian Zara Qairina, termasuk sama ada wujud unsur jenayah.
Allahyarhamah Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada 17 Julai lalu, selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar pada 16 Julai.