Zahid Tempelak Pihak Perlekeh Usaha Kerajaan, Sindir Negeri 38 Tahun Gagal Atasi Masalah Dadah

MELAKA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegur sikap segelintir pihak yang gemar memperlekeh usaha kerajaan Persekutuan tetapi gagal menunjukkan hasil walaupun berpuluh tahun diberi mandat memerintah.

Menurut beliau, terdapat negeri yang mendabik dada kononnya membawa panji Islam sepanjang 38 tahun pentadbiran, namun realitinya negeri berkenaan terus berdepan masalah sosial serius, termasuk penagihan dadah yang membimbangkan.

“Kadang-kadang pelik bila ada yang meremehkan usaha kerajaan, seolah-olah tiada apa yang baik dilakukan. Sedangkan kerajaan hari ini melaksanakan jauh lebih banyak daripada apa yang dijanjikan, termasuk dasar berteraskan Islam, tanpa mengabaikan kepentingan agama lain,” katanya ketika merasmikan Program Tabika Tunas Istimewa@KEMAS di Tabika KEMAS Kampung Air Hitam Pantai, Tanjung Bidara, semalam.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Walaupun tidak menyebut nama secara langsung, kenyataan itu difahami ditujukan kepada Kelantan yang dikuasai PAS sejak 1990.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menegaskan, negeri berkenaan gagal membuktikan slogan pemerintahan Islam yang dilaungkan, sebaliknya terus terpalit dengan isu sosial paling parah di negara ini.

“Selama 38 tahun memerintah, apa yang dikatakan mahu mengislamkan negeri itu tidak berlaku. Malah, negeri tersebut kekal dengan kadar penagihan dadah paling tinggi, terutama membabitkan pil kuda.

“Diikuti pula dengan negeri bersebelahan di utara. Jadi, jangan hanya gunakan nama parti atau pertubuhan dengan label Islam, tetapi gagal melaksanakan dasar Islam sebenar,” tegasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan penubuhan Tabika Tunas Istimewa@KEMAS sebagai salah satu daripada 42 inisiatif besar KKDW tahun ini, sejajar dengan Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) dan Akta Orang Kurang Upaya (Akta 685).

Projek perintis dimulakan dengan tiga Tabika khas di Melaka sebelum diperluaskan ke seluruh negara pada 2026 melalui konsep “1 Negeri, 1 Tabika” melibatkan 14 negeri.

BBerkaitan

Latest articles