Ibu Pelatih PALAPES Tuntut Kubur Anak Digali Semula

SHAH ALAM: Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, mendakwa kematian anaknya, Syamsul Haris Shamsudin, 22, pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, penuh tanda tanya.

Tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diterima, Ummu Haiman memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk menggali semula kubur anaknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Selangor, bagi membolehkan bedah siasat kedua dilakukan.

Dalam permohonannya, beliau turut menamakan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, dan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, sebagai responden, selain menuntut inkues bagi menyiasat punca sebenar kematian.

Bedah siasat baharu diminta dijalankan oleh pakar forensik Hospital Kuala Lumpur dalam tempoh 14 hari, dengan kehadiran Pakar Forensik Datuk Seri Dr Bhupinder Singh serta peguamnya, Datuk Naran Singh atau wakil.

Beliau mahu laporan lengkap disiapkan dalam masa sebulan dan salinan diberikan kepada peguam, selain meminta pasukan penyiasat baharu dari Bukit Aman mengambil alih kes sebagaimana yang berlaku dalam kematian Zara Qairina Mahathir.

Menurutnya, bedah siasat pertama tidak dijalankan oleh pakar forensik hospital, sebaliknya hanya oleh seorang pegawai perubatan gred UD10, Dr George Sixtus Fernandez Jr.

Lebih menyedihkan, keluarga tidak berpeluang melihat jasad penuh Allahyarham.

“Jenazah dibawa dalam keranda tertutup. Kami paksa buka, tapi hanya muka yang ditunjukkan. Bahagian lain tak dapat dilihat langsung,” luahnya sebak.

Ummu Haiman melalui peguamnya turut memfailkan perakuan segera supaya mahkamah mempercepatkan pendengaran kes ini.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, memaklumkan jawatankuasa khas di bawah Kementerian Pertahanan telah ditubuhkan untuk menyiasat kes ini secara menyeluruh, dengan penglibatan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

BBerkaitan

Latest articles