KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan dua daripada 10 individu yang direman kelmarin berhubung siasatan sindiket penyeludupan di selatan tanah air menyamar sebagai wartawan bagi melindungi peranan sebenar mereka.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki turut mengesahkan kedua-duanya merupakan bekas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kini bekerja sebagai wartawan di sebuah agensi media dalam talian namun pekerjaan itu dijadikan topeng ketika menjalankan aktiviti bersama sindiket berkenaan.
“Berdasarkan semakan kami, kerja mereka sebagai wartawan hanyalah penyamaran bagi melaksanakan peranan dalam sindiket,” katanya kepada media.
Azam menjelaskan, peranan kedua-dua suspek masih belum dapat dipastikan memandangkan siasatan oleh SPRM masih berjalan.
Semalam, SPRM menahan reman 10 individu termasuk lima pegawai kanan ATM dan dua wartawan agensi media dalam talian dipercayai terbabit dengan sindiket penyeludupan di selatan tanah air.
Turut direman seorang pengurus syarikat, seorang pembantu pentadbiran di Persatuan Perubatan Malaysia serta seorang wanita warga asing.