Lelaki Maut Jatuh Dari Tingkat 27 Kondominium, Tangan Terputus

MELAKA: Seorang lelaki berusia 24 tahun maut dalam keadaan tragis selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 27 sebuah rumah inap kondominium di Kota Syahbandar, awal pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 pagi, hanya dua jam selepas mangsa mendaftar masuk ke unit berkenaan bersama tunangnya yang berusia 21 tahun.

Menurut sumber, insiden itu disedari penyewa lain di tingkat lapan yang terdengar dentuman kuat dari arah kolam renang di tingkat tujuh.

“Saksi kemudian terlihat kelibat seseorang di dalam kolam dan segera menghubungi polis. Pemeriksaan mendapati objek tersebut adalah mayat seorang lelaki dengan tangan kiri terputus, dipercayai akibat terjatuh dari tingkat atas,” katanya.

Pasukan bomba dipanggil untuk membantu mengeluarkan mayat sebelum dibawa ke Hospital Melaka bagi proses bedah siasat.

Siasatan awal mendapati, sekitar jam 2.15 pagi, mangsa memberitahu tunangnya bahawa dia terdengar bunyi ketukan di pintu unit mereka.

Mangsa kemudian keluar ke balkoni, dipercayai untuk cuba turun ke tingkat bawah, namun terjatuh ke dalam kolam renang.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengesahkan tiada pergerakan individu lain di lokasi ketika kejadian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kes setakat ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi demi menghormati keluarga mangsa.

BBerkaitan

Latest articles