GUA MUSANG: Polis kini giat mengesan suspek yang terlibat dalam kes membabitkan penemuan seorang mayat bayi lelaki pramatang yang dibaluti kain lampin berdekatan tong sampah di sebuah taman permainan, semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintenden Sik Choon Foo berkata jasad bayi itu ditemukan ditanam di kawasan taman permainan Program Perumahan Rakyat di sini.
“Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang menerima panggilan telefon daripada orang awam mengenai penemuan bayi lelaki tersebut pada kira-kira 10.30 malam.
“Siasatan awal yang dijalankan mendapati bayi tersebut adalah pramatang dan dipercayai telah meninggal dunia beberapa jam sebelum ditemukan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mayat bayi itu telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
“Selain itu, orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat berkaitan kejadian ini kepada pihak polis dengan menghubungi Balai Polis Gua Musang talian 09-9121 222atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.- BERNAMA